Malaysia Dateline

Muhammad Hussain kini harapan PH Kelantan untuk tebus maruah

Pemilihan Ustaz Muhammad Hussain sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan yang baru dijangka akan membawa harapan baru kepada PH selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Muhammad, Pengerusi AMANAH Kelantan itu dipilih sebagai Pengerusi PH Kelantan yang baru selepas Pengerusi PH yang lama, Datuk Husam Musa melepaskan jawatan itu sebelum ini.

Pemilihan Muhamad telah disepakati oleh pemimpin AMANAH, PKR dan DAP Kelantan selepas Muhamad dipilih sebagai Pengerusi AMANAH Kelantan sebelum ini.

Sebelum pemilihan Muhammad, nama Datuk Wan Rahim Abdullah disebut-sebut sebagai bakal dilantik selepas Husam mengundurkan diri, namun keputusan dibuat oleh pimpinan PH Kelantan untuk memilih Muhammad sesuai dengan jawatan beliau sebagai Pengerusi AMANAH Kelantan.

Muhammad adalah bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya dan pemimpin membawa kegemilangan kepada pergerakan pelajar Pas ketika beliau bersama Pas dahulu.

Beliau terkenal dengan latihan kepimpinan di kalangan pelajar dan asam garam politik dalam Pas sebelum menyertai AMANAH sebaik sahaja parti itu ditubuhkan.

Ketika dalam Pas, Muhammad pernah dipilih sebagai Adun dan juga Ahli Parlimen Pasir Puteh.

Muhamad kini menjadi harapan baru kepada PH Kelantan untuk membawa gabungan itu ke zaman gemilang selepas kalah teruk dalam PRU 14 lalu.

Sebahagian besar calon PH Kelantan ketika itu hilang wang deposit apabila berlaku pertandingan tiga penjuru antara Pas, BN dan juga PH.