Malaysia Dateline

Muhammad Sajjad juga mangsa penipuan, saksi perbicaraan 14 Julai depan

Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang masih tidak dapat dikesan ialah saksi penting perbicaraan berkaitan kes penipuan pertukaran nama dan jantina, dalam kad pengenalan.

Lelaki yang pernah menyatakan hasrat untuk keluar daripada agama Islam itu merupakan seorang mangsa penipuan dan juga saksi dalam perbicaraan itu yang akan berlangsung pada 14 Julai ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata Muhammad Sajjad ialah saksi penting bagi memberi keterangan ke atas suspek yang juga seorang wanita tempatan yang dituduh sebelum ini kerana terbabit dalam kes penipuan pertukaran nama dan jantina dalam kad pengenalan.

“Dia saksi pendakwaan bagi membantu pihak pendakwa raya dalam kes yang sedang dalam prosiding perbicaraan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lelaki yang tahun lalu menggemparkan orang ramai kerana mengenakan pakaian jemaah wanita ketika mengerjakan umrah di Makkah itu disyaki sudah melarikan diri dan tidak dapat dikesan.

Usaha mencarinya dilakukan bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Ampang Jaya.

Semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan memaklumkan sedang mengesan Muhammad Sajjad untuk membantu siasatan satu kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan yang sedang dalam perbicaraan.

Menurut kenyataan itu, alamat terakhir Muhammad Sajjad di No 2, Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Sajjad boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syafrina Nadzleen Ibrahim di talian 019-2692 954.

Muhammad Sajjad turut diburu pihak berkuasa selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sajjad dipercayai bersembunyi di Thailand, selepas menghilangkan diri kerana dikenakan waran tangkap berkenaan.