Muhasabah diri dahulu sebelum cabar Anwar, kata Johari Abdul

Muhasabah diri dahulu sebelum cabar Anwar, kata Johari Abdul

Dalam sistem demokrasi negara siapa sahaja boleh bertanding, begitu juga bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul ketika ditemui selepas perasmian mesyuarat agung Kelab Veteran Komando Malaysia Zon Utara di Sungei Petani semalam.

Jelas beliau lagi, PKR tidak pernah menyekat mana-mana ahli untuk bertanding apa jua jawatan sekali pun.

“Sejarah harus dikaji dan diteliti oleh semua pendokong yang cintakan PKR.

“Anwar yang telah menjadi penggerak memulakan reformasi semenjak tanggal 2 September 1998.

“Hasil dari gerakan tersebutlah maka parti ini ditubuhkan pada 4 April 1998, ” katanya lagi.

Menurut Johari, punca kenapa tertubuhnya parti sedia adalah dan penyebab utama gerakan reformasi tidak harus dilupakan.

Ujar beliau lagi, titik permulaan gerakan reformasi yang terjadi adalah semata-mata kerana penggeraknya iaitu Anwar Ibrahim.

“Harus diingati Anwar merengkok dalam penjara selama hampir 11 tahun adalah kerana beliau begitu yakin demokrasi mesti ditegakkan dalam negara ini.

“Setelah begitu lama berjuang dengan pelbagai provokasi, sepak terajang, fitnah dan pembohongan melampau kerajaan terdahulu, kini terbukti mampu melakar sejarah dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kita telah berjaya menumbangkan sebuah kerajaan gergasi yang telah begitu lama memerintah negara selama 60 tahun,” tegasnya.

Soal Johari lagi, dalam pelbagai tribulasi dan serangan pihak lawan sehingga Anwar mengorbankan segala kebebasannya, apakah wajar harga yang perlu dibayar dengan menentang hasratnya bagi menerajui parti kali ini.

“Anwar sewajarnya diberi peluang dan selayaknya untuk menjadi Presiden PKR.

“Adalah tidak wajar bagi sesiapa pun bertanding menentangnya dalam pemilihan parti kali ini.

“Selayaknya ia telah berjaya buktikan keyakinannya bahawa kerajaan zalim boleh tumbang dan terbukti ia telah dapat ditumbangkan,” tambahnya lagi.

Apa yang amat dikesali katanya, setelah menjadi penjawat awam dalam PKR tiba-tiba muncul secara mendadak desas-desus ingin menentang Anwar adalah tidak wajar sama sekali.

“Siapa sahaja yang mempunyai hasrat menggunung bagi mencabar Anwar bagi pemilihan Presiden kali ini harus muhasabah diri.

“Fikir semasak-masaknya cadangan tersebut apakah ianya suatu kehebatan atau sebaliknya.

“Walau hebat bagaimana sekalipun, sekiranya hendak dibandingkan dengan pengorbanan dan kejayaan anwar amat jauh bezanya umpama bumi dan langit,” nasihat beliau lagi.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 8.7
CATEGORIES
TAGS