Malaysia Dateline

Muhasabahlah PH jika tidak mahu jadi pelancong pilihan raya

Rekod kemenangan Umno BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu bukanlah pengakhiran perjuangan menentang Umno BN yang terbukti sebuah kerajaan yang gagal dan korup.

Malah peratusan undi keseluruhan Umno BN adalah 43 peratus, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan tunggal bagi menyedapkan hati mengubat kekalahan pembangkang, tetapi sekurang-kurangnya peratusan ini menunjukkan perjuangan pembangkang masih ada peluang dan harapan.

Menurut ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil, harapan rakyat yang menolak Umno BN tetap tinggi dan oleh itu, PH perlu muhasabah agar dalam piligan raya umum (PRU) nanti, PH bukannya seperti pelancong pilihan raya.

“Antara faktor yang perlu diberi penilaian secara serius dan diambil langkah pembaikan ialah perpecahan undi dalam kalangan pembangkang telah mengakibatkan BN selesa memenangi PRN kali ini dan undi pembangkang terutama undi Melayu terbahagi-bahagi kepada beberapa parti pembangkang yang bertembung terutama PH-PN.

Muhasabahlah PH jika tidak mahu jadi pelancong pilihan raya
Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil

“Kemenangan PH dalam PRU ke-14 lalu kerana penyatuan semua parti pembangkang dengan wujudnya sebuah parti teras Melayu dan formula ini perlu digunakan sekali lagi.

” Selain itu isu kempen yang tidak berkesan apabila BN membawa isu kestabilan sebagai isu utama dalam PRN ini dan apabila berlakunya langkah Sheraton rakyat melihat kepada perlunya sebuah kerajaan yang stabil. Pembangkang khususnya PH gagal membawa mesej kestabilan, malah gagal menunjukkan kekuatan ini,” ujar beliau.

Tegas Faiz lagi, PH gagal membawa isu ekonomi maupun perut rakyat secara serius serta terlalu bergantung kepada isu rasuah dan ternyata ia kurang memberi kesan kerana PH gagal mengawal naratif kestabilan yang dibawa oleh BN serta pengundi Johor tidak memahami rasuah, cuma ‘mood’ kali ini mahukan sebuah kerajaan yang boleh menjamin kehidupan terutama kesan ekonomi. akibat pandemik Covid-19.

Tambahnya, pengundi melihat imej perpaduan yang longgar dan memberikan kesan kepada kestabilan. Sekiranya isu logo sendiri gagal diselesaikan diperingkat awal, ini membawa tanggapan bahawa kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti sukar bertahan lama kerana formula melawan satu musuh perlu dikenal pasti dahulu, disusuli satu logo, satu manifesto dan satu suara.

Kata beliau lagi, kelemahan mobilisasi pengundi luar apabila kelemahan PH untuk meyakinkan pengundi luar pulang telah memberi impak walaupun ada usaha tetapi ia tidak memadai terutamanya pengundi yang tinggal di Singapura.

Ia juga berkata, walaupun adanya pergerakan pengundi di Lembah Klang, tetapi masih belum mencukupi dan kebanyakan pengundi secara asasnya mahu mengundi dalam PRU ke 15 daripada PRN. Oleh kerana itu gelombang kebangkitan rakyat perlu dibina semula bagi merangsang semangat keluar mengundi yang tinggi dikalangan pengundi.