Malaysia Dateline

Muhyiddin akan lakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Walaupun pada masa ini, PN hanya mempunyai 109 sokongan ahli Dewan Rakyat, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menutup saluran untuk menjatuhkannya.

“Muhyiddin sendiri pun kata mereka bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Tetapi apabila dapat kuasa maka dia akan lakukan apa sahaja yang perlu bagi mengekalkan kuasa termasuk gantung Parlimen supaya tiada saluran untuk jatuhkan dia sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 98) menerusi JOMchannel Facebook Live bertajuk “Darurat: Parlimen Bersidang Kembali?” malam tadi.

Beliau berkata, Parlimen masih boleh bersidang walaupun dalam tempoh Proklamasi Darurat bahkan boleh juga diprorog (digantung) atau dibubarkan terpulang pada keputusan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, ahli politik yang berpegang pada falsafah Machiavelli iaitu tokoh politik Itali, Niccolo Machiavelli abad ke-16 tidak peduli soal prinsip dan peraturan.

“Setelah dapat kuasa dia akan bertindak untuk mengekalkan dirinya berkuasa. Dia tidak kisah apa berlaku pada negara.

“Yang penting dia terus berkuasa kerana itulah matlamat politik bagi golongan yang mengikut falsafah Machiavelli.

“Ahli politik jenis ini mereka ada kepentingan. Apabila membentuk kerajaan, mereka membuat keputusan mengikut kepentingan mereka.

“Yang mana menentang seperti yang terbukti, boleh dibeli dengan jawatan, sogokan dan pelbagai lagi untuk berdiam diri mengikut kehendak sesiapa yang berkuasa.

“Oleh sebab mereka berkepentingan, maka sesuatu dasar adalah bagi menjamin kedudukan kuasa mereka berterusan,” tegas Khalid lagi.