Malaysia Dateline

Muhyiddin akui kerajaan sudah tiada banyak wang

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mengakui kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang kesan daripada perbelanjaan yang perlu disalurkan berkaitan Covid-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan lebih RM600 bilion dibelanjakan dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

“Sudah banyak kita belanjakan wang tahun ni, tahun lepas. Apa sebab? Covid-19. RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322 bilion untuk belanjawan.

“Saya pergi sekolah tapi saya tak pandai kira how much is that, saya fikir banyak orang Sikh faham, it is more than RM600 billion, that’s big sum of money (ia lebih daripada RM600 bilion, jumlah yang sangat besar).

“Apa yang saya cuba nak sampaikan di sini, kita tak banyak wang lagi yang tinggal.

“Kita tak ada banyak wang seperti sebelum ini, kerana perkara yang paling penting bagi kita adalah memastikan kehidupan kita; kita seharusnya dapat menguruskan diri dengan lebih baik,” lapor Malaysiakini.

Muhyiddin berkata demikian kepada masyarakat Sikh sempena sambutan perayaan Vaisakhi di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Walaupun begitu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berjanji memperuntukkan RM3 juta kepada semua 120 kuil Sikh di negara ini iaitu meningkat berbanding RM2.18 juta tahun lalu.

Ahli Parlimen Pagoh berkenaan turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Majlis Gurdwara Malaysia bagi membina pusat Sikh.

Pengakuan Muhyiddin itu hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri, Ketua Menteri (KM) atau Menteri Besar (MB) diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Ini bermakna ketua kerajaan dan ketua kerajaan negeri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.

Sebanyak RM20 bilion diperuntukkan dalam pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dengan 20 inisiatif baharu.

Dilancarkan pada bulan lalu, Muhyiddin berkata, pakej baharu itu membabitkan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.

Sepanjang tahun lalu, Putrajaya telah mengumumkan pelbagai pakej rangsangan, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion, PKS Prihatin (RM10 bilion), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana (RM35 bilion) dan Kita Prihatin (RM10 bilion).

Awal tahun ini, kerajaan mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berjumlah RM15 bilion menerusi 22 insiatif dengan tiga matlamat, iaitu memerangi pandemik Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.