Malaysia Dateline

Muhyiddin anggap impak PKP terhadap ekonomi masih terkawal

Walaupun situasi penularan Covid-19 di negara ini semakin kritikal, kerajaan menjangkakan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 terhadap ekonomi negara masih terkawal.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami kali ini.

Presiden Bersatu tersebut berkata, ini kerana lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

“Pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia.

“Pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan PERMAI(Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia) juga akan terus merancakkan penggunaan,” katanya ketika mengumumkan pakej bantuan bernilai RM15 bilion tersebut hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,

Muhyiddin menjelaskan projek dan program yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar juga akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi.

Ujarnya, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini juga berjaya mencapai kadar penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih rendah daripada 17.1 kepada 2.7 peratus.

Kadar pengangguran juga, tambah Muhyiddin, mencatatkan penurunan daripada 5.1 pada suku kedua 2020 kepada 4.7 peratus pada suku ketiga 2020.