Malaysia Dateline

Muhyiddin ayah tiri guna taktik pintu belakang, selar Raja Kamarul

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad diminta merenung kembali saranan beliau bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin layak dianggap sebagai seorang ayah.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, ini kerana banyak tindakan Muhyiddin dilihat telah menganaktirikan sebahagian besar rakyat Malaysia yang sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, Muhyiddin melalui ucapannya juga mengaku bahawa beliau bukan Perdana Menteri yang dipilih rakyat dan tiada negara utama dunia mengucapkan tahniah atas pelantikan jawatan penting tersebut.

“Walaupun secara prinsipnya saya bersetuju Perdana Menteri umpama seorang ayah, tetapi dalam konteks situasi cara Muhyiddin menubuhkan kerajaan baharu melalui pintu belakang, maka watak seorang ayah tidak lagi sesuai digunakan.

“Barangkali Muhyiddin layak dianggap sebagai ayah tiri dengan sikap diskriminasi beliau terhadap kami.

“Beliau mungkin juga layak memegang status ayah tiri kerana cara ayah asal kami yang dipilih rakyat secara sah melalui proses demokrasi, ‘dihalau’ menggunakan taktik pintu belakang.

“Oleh kerana contoh yang buruk ditunjukkan seorang ayah tiri, kepimpinan beliau adalah seperti ketam yang ingin mengajar anaknya berjalan lurus,” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Disebabkan pertukaran barisan jemaah menteri berlangsung ketika ancaman Covid-19 melanda negara dan dunia, Raja Kamarul yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu mempersoalkan itu bukan tindakan seorang ayah yang bertanggungjawab.

Katanya, Muhyiddin bersama Pas, Umno dan Bersatu sedia sedar bahawa Malaysia dan masyarakat dunia menghadapi ancaman kritikal Covid-19 ketika mengambil alih kerajaan.

“Mereka juga telah menukar segala barisan menteri dan struktur penting negara sewaktu krisis Covid-19 melanda. Adakah ini tindakan seorang ayah yang bertanggungjawab atau hanya mengikut nafsunya?

“Mesyuarat Covid-19 di peringkat awal pula tidak menjemput lima negeri pembangkang yang mempunyai 40 peratus penduduk Malaysia. Adakah ini tindakan ayah yang bertanggunjawab di saat ribuan rakyat diancam wabak berbahaya tersebut?,” soal beliau lagi.

Semalam, Pas menerusi hantaran video yang dimuatnaik di Facebooknya menganggap Muhyiddin umpama seorang ayah dalam memberikan nasihat agar semua orang terselamat daripada penularan wabak Covid-19.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, dalam suasana negara sedang berperang dengan penularan virus itu, semua pihak mesti mematuhi setiap arahan dikeluarkan Ahli Parlimen Pagoh itu kerana, ia akan membantu negara keluar daripada wabak tersebut.