Malaysia Dateline

Muhyiddin bakal iktiraf UEC tak lama lagi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan ketika ini bakal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak lama lagi.

Menerusi satu hantaran Facebook aktivis, Adrian Lim Chee En, dia mendakwa Muhyiddin melahirkan hasrat tersebut dalam satu pertemuan bersama gabungan Hua Zong semalam.

“Orang Melayu tak tahu Muhyiddin telah berjumpa dengan Hua Zong (kawan Dong Jiao Zong) dan mengisytihar harapannya mengiktiraf UEC tidak lama lagi.

“Orang Melayu tak tahu sebab perkara ini tidak dilaporkan oleh akhbar-akhbar Melayu.

“Ianya dilapor oleh akhbar Mandarin sahaja untuk bacaan dan pengetahuan orang Cina, di samping mengelak orang Melayu ketahui perkara ini,” katanya.

Memetik laporan Sin Chew hari ini, Muhyiddin sememangnya berkata, secara peribadi, “jika boleh, saya juga berharap agar kerajaan akhirnya dapat mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).”

Muhyiddin mengatakan bahawa kerajaan bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan organisasi masyarakat China termasuk Hua Zong dan Dong Jiao Zong, tetapi prasyaratnya adalah memahami dasar dan keadaan nasional.

Muhyiddin berkata demikian semasa pertemuannya dengan kepimpinan Presiden China yang diketuai oleh Tan Sri Wu Tianquan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan negara dan masyarakat China.

“Ringkas kata, bersenjatakan dua ahli Parlimen sahaja, Cina MCA telah berjaya meminta PM Melayu Muslim mengiktiraf UEC.

“Dahsyat juga dua Yb Cina MCA itu, iaitu Wee Ka Siong Ayer Hitam dan Wee Jeck Seng Tanjung Piai,” kata Adrian.

Isu pengiktirafan Sijil UEC ini pernah menjadi hangat dan pertikaian orang ramai apabila masyarakat China menggesa kerajaan untuk segera mengiktiraf sijil tersebut.

Ketika itu juga, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikritik ramai apabila meluahkan kesediaannya untuk menunaikan manifesto dengan mengiktiraf UEC.

Sijil UEC anjuran pertubuhan Cina iaitu Dong Zong bagaimanapun sewaktu pentadbiran PH, masih dalam penelitian kerajaan sama ada layak diterima untuk kemasukan ke institut pendidikan tinggi awam (IPTA).

Isu itu bagaimanapun tidak menemui jalan penyelesaian berikutan PH ketika itu masih belum memutuskan untuk menerima mahupun menolak tuntutan tersebut sebelum akhirnya hal itu reda seketika.

Pakar-pakar akademik juga berbeza pendapat yang menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai tidak adil kepada pelajar lepasan SPM dan STPM.