Malaysia Dateline

Muhyiddin bakal PM ke-8, angkat sumpah esok

Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat perkenan Yang DIpertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah sebagai Perdana Menteri ke-8, Malaysia.

Yang Dipertuan Agong berkenan melantik Presiden  Bersatu itu sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Beliau berkata, istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan esok pada jam 10 .30 pagi di Istana Negara.

Katanya Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khusunya agensi kerajaan, keselamatan dan pihak media.