Malaysia Dateline

Liew Chin Tong

Muhyiddin berdepan kesukaran di Pagoh jika pertandingan pelbagai penjuru

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapati kerusi Parlimen Pagohnya tidak selamat lagi sekiranya kerusi itu menjadi pertandingan pelbagai penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, daripada 65 peratus pengundi yang merupakan Melayu di Pagoh, Muhyiddin tidak mempunyai separuh daripada kumpulan itu.

Tambahnya, baki sokongan Muhyiddin datang dari pengundi bukan Melayu yang merupakan 36 peratus dari pengundi kawasan tersebut.

“Saya fikir ia adalah kerusi yang sangat berbahaya untuknya jika bukan pertarungan satu lawan satu. Dengan ‘three kingdom’ diterjemahkan ke dalam pertandingan pilihan raya, ia bermaksud ada pertarungan tiga penjuru.

“Three kingdom ini merujuk kepada tiga kekuatan politik pasca Sheraton, yang telah saya jelaskan dalam artikel sebelumnya – Muhyiddin dan rakan-rakannya; Umno dan rakan-rakannya; serta PH dan parti pembangkang yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter hari ini.

Menurutnya Chin Tong yang juga Ahli Dewan Negara, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Muhyiddin berdepan dua pencabar di Pagoh tetapi memperoleh 23,558 (45.7 peratus) undi daripada 43,667 jumlah pengundi (84.8 peratus).

Jelasnya, Muhyiddin berdepan calon Umno, Ismail Mohamed yang meraih 16,631 undi (32.3 peratus) sementara calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz mendapat 2,483 (4.8 peratus) undi.

Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, beliau tidak fikir Muhyiddin akan menjadi sangat popular dalam masa tiga bulan atau setengah tahun ini.

Jelasnya, sangat sukar bagi Muhyiddin untuk mengubahnya dalam jangka masa singkat, walaupun hinagga bulan Ogos.

“Meskipun apabila beliau (Muhyiddin) begitu popular pada Jun 2020, partinya tidak dan tidak akan,” katanya.

Tambah Chin Tong, memandangkan hubungan Bersatu dengan Umno terus meruncing, ini bermakna Bersatu kini tinggal sokongan dari Pas, iaitu parti komponen satu lagi dari pakatan tiga parti Muafakat Nasional.

“Ini tidak mencukupi.

“Muhyiddin mungkin bertaut di bahu Pas tetapi beliau tidak boleh bergantung sepenuhnya pada Pas. Bersatu kini mempunyai 31 ahli Parlimen di Dewan Rakyat, namun tanpa sokongan kedua-dua Umno dan Pas, ia tidak akan dapat mengekalkan kerajaan,” katanya.