Muhyiddin dicadang adakan kursus ‘Rukun Negara dan Sensitiviti’ untuk kabinetnya
Gambaran Kabinet Muhyiddin oleh Kartunis Zunar yang perlukan kursus "Rukun Negara dan Sensitiviti” sebagaimana dicadangkan oleh Lim Kit Siang.

Muhyiddin dicadang adakan kursus ‘Rukun Negara dan Sensitiviti’ untuk kabinetnya

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan agar menganjurkan kursus khas mengenai “Rukun Negara dan Sensitiviti” untuk para menteri dan timbalan menteri beliau supaya insiden-insiden seperti yang berlaku kepada pelajar Sabah, Veveonah Mosibin dan pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 tidak berulang lagi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, insiden yang berlaku kepada Veveonah ini amat mengejutkan dan telah mendedahkan bagaimana dua orang timbalan menteri ini telah terputus hubungannya dengan kehidupan harian rakyat biasa.

Katanya, selain daripada melepaskan tanggungjawab terhadap kenyataan beliau kepada Ahli Parlimen Kudat merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin masih belum menjelaskan pelbagai alasan yang diberikan beliau dalam beberapa hari yang lepas.

“.. mulanya di dalam Dewan Negara dengan menuduh Veveonah menipu mengenai terpaksa tinggal di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet selama 24 jam untuk menduduki peperiksaan; kemudiannya menarik semula tuduhan ini dalam hari yang sama; sebelum mengulangi semula tuduhan ini semalam, sambil menyalahkan Timbalan Menteri Kewangan,” kata veteran DAP itu dalam kenyataannya.

Selepas itu, katanya, Ahli Parlimen Kudat merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri telah mengulangi tuduhan yang sama di dalam laman Facebook beliau dan berkongsi satu laporan kononnya daripada seorang ketua kampung tempatan yang mengatakan Veveonah tidak tinggal di kampung pedalaman di Pitas.

Seorang “dekan” Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tidak dinamakan juga telah mempersoalkan kewujudan peperiksaan atas talian semasa insiden ini berlaku.

“Tapi kemudiannya, Abdul Rahim telah memadam catatan Facebook beliau ini selepas menerima kritikan. Perkara ini menunjukkan yang Timbalan Menteri Kewangan ini tidak bersedia untuk mempertahankan catatan Facebook beliau ini; dan menunjukkan yang Timbalan Menteri ini juga gagal untuk menyedari isu sebenar mengenai jurang digital dalam negara kita.

“Malah, kedua Timbalan Menteri ini seharusnya berterima kasih kepada Veveonah kerana membangkitkan isu mengenai jurang digital di kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia, dan bukannya terjebak dalam aktiviti buli-siber,” kata Kit Siang.

Bagi beliau, perkara ini menunjukkan negara ini mempunyai dua orang timbalan menteri yang tidak berani untuk mempertahankan tuduhan mereka dan mereka tidak menghormati Parlimen sebagai satu tempat yang mulia, bukan tempat untuk berkongsi imaginasi liar mereka.

Semalam, abang kepada Veveonah, Mekvin Mosibin pula telah berkongsi pandangan beliau mengenai kontroversi ini apabila beliau menulis di Facebook mengenainya.

Bagi Ahli Parlimen veteran itu, kursus khas mengenai “Rukun Negara dan Sensitiviti” untuk para menteri dan timbalan menteri beliau adalah amat penting memandangkan sudah berlaku terlalu banyak kesilapan yang jengkel dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan menteri dan timbalan menteri.

Ia termasuklah pelanggaran SOP Covid-19 oleh Ahli Parlimen Pas dari Kuala Nerus yang juga seorang menteri, penghinaan kepada agama Kristian, dakwaan “air suam merawat Covid-19”, dakwaan yang “Malaysia mempunyai 15 negeri” dan ada “500 negara” di seluruh dunia, begitu juga dengan kejadian-kejadian menteri “Doraemon” dan “Tik-tok” yang telah memburukkan Kabinet Muhyiddin.

“Adakah Muhyiddin akan mengadakan kursus ini?” soal Kit Siang dalam kenyataan beliau itu.

 

COMMENTS

Wordpress (0)