Malaysia Dateline

Muhyiddin digesa dedah dalang kartel daging

Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa mendedahkan dalang utama kartel daging yang menjalankan aktiviti menyeludup daging haram selama lebih 40 tahun.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin juga mendesak kerajaan bertindak serta merta menghentikan operasi syarikat berkenaan.

Katanya, Muhyiddin tidak wajar mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan masyarakat Islam di Malaysia.

“Malangnya, sehingga hari ini kerajaan gagal mendedahkan kartel yang terlibat dan lambat bertindak untuk menghalang syarikat ini daripada terus memasarkan daging yang diragui status halalnya,” katanya.

Katanya, umat Islam di Malaysia berasa gusar dan hairan bagaimana kartel ini boleh dibiarkan beroperasi sejak sekian lama.

“Kegusaran ini mesti ditangani oleh pihak kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Daging yang diragui status halalnya itu diimport daripada negara-negara yang tidak mencapai standard yang ditetapkan pihak JAKIM,” kata beliau.

Beberapa hari lalu, tular di media berhubung wujudnya kartel yang dilindungi pihak tertentu menjalankan aktiviti menyeludup daging haram selama lebih 40 tahun.