Malaysia Dateline

Muhyiddin digesa sahkan kesahihan surat projek bina dewan RM35 juta

Tan Sri Muhyiddin Yaasin digesa mengesahkan kesahihan satu surat dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri berhubung kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan projek pembinaan dewan di Parlimen Pagoh.

Ahli Parlimen Johor Bharu Akmal Nasir mengutarakan gesaan itu ekoran ramai yang bertanya mengenai kesahihan surat tersebut.

“Kalau surat ini tidak benar, elok nafikan segera.

“Saya rasa tidak menjadi kesalahan sebagai rakyat untuk kita bertanya,” katanya melalui Facebook hari ini.

Akmal turut mempersoalkan, apakah kewajaran pelaksanaan projek pembinaan dewan bernilai lebih RM35 juta ketika negara berhadapan dengan wabak Covid19?

“Kenapa jumlah begitu besar untuk bina sebuah dewan dan kenapa di Pagoh, adakah terdapat kepentingan politik atau peribadi?

“Bukankah lebih elok keutamaan dana diberikan untuk meningkatkan kemampuan frontliners atau mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat menghadapi Darurat dan PKP?

“Benarkah surat tersebut diutus pada tarikh sama ketika Proklamasi Darurat diumumkan YAB Perdana Menteri?

“Adakah ini bermakna ketika Darurat kerajaan Perikatan Nasional boleh bertindak sesuka hati membelanjakan wang rakyat dalam keadaan Parlimen digantung?

“YAB Perdana Menteri, kami mohon pencerahan,” soal beliau.

Sejak pagi tadi tular satu surat dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri berhubung kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan projek pembinaan dewan di Parlimen Pagoh.

Kandungan surat kepada Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman diterima pada 11 januari 2021 lalu menyatakan Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM35,435,992.00 bagi pelaksanaan projek pembinaan dewan di Parlimen Pagoh.

Perdana Menteri juga memohon supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) dilantik sebagai pelaksana projek-projek ini

“PM juga turut menyatakan hasrat beliau agar pelaksanaan projek-projek ini dapat dimulakan dengan secepat mungkin

“Oleh itu Ybhg Datuk dimohon untuk mengambil segala tindakan yang dapat memastikan projek ini dapat bermula di tapak pada 1 mac 2021,” tulis JPM dalam surat tersebut.