Malaysia Dateline

Muhyiddin dijangka lantik lebih ramai MP PN ketuai GLC

Dalam rangka untuk memperkukuhkan kedudukan beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan melantik lebih ramai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Laporan FocusM semalam menyebutkan, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh mereka yang tahu mengenai perkara tersebut tetapi enggan nama didedahkan, ahli-ahli Parlimen PN telahpun diberitahu mengenai perkembangan ini.

Menurut laporan itu, nama-nama yang disebutkan termasuk tokoh-tokoh penting Umno seperti MP Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang akan mengetuai Felda, MP Besut Datuk Seri Idris Jusoh atau MP Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk menerajui Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi Felda sekarang ialah Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan menurut laporan The Straits Times Singapura, Bakke telah diminta melepaskan jawatannya di Malaysian Palm Oil Board (MPOB). Bakke dilantik sebagai pengerusi Felda pada 26 Jun tahun lalu atas kontrak selama dua tahun.

Sebelum ini FocusM melaporkan bahawa pengerusi Socso Zakri Khir telah meletakkan jawatan dan tempatnya akan digantikan dengan MP Sabak Bernam dari Bersatu, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Di Mara juga telah berlaku perubahan apabila pengerusinya Hasnita Hashim dan ahli lembaga pengarahnya dipecat pada 18 Mac lalu.

3 April lalu, The Malaysian Reserve melaporkan bahawa Dr Nungsari Radhi menarik diri dari Institut Penyelidikan Khazanah. Nungsari juga adalah pengerusi eksekutif Malaysian Aviation Commission.

Perubahan pimpinan yang lain termasuk penamatan perkhidmatan Datuk Noripah Kamso sebagai pengerusi Bank Rakyat pada 3 April lalu. Kontrak beliau sepatutnya berakhir pada Disember tahun ini.

Datuk Noor Farida Ariffin, menurut laporan Malay Mail pada 1 April lalu, tidak lagi menjadi pengerusi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF). Beliau bersama kesemua ahli lembaga telah dipecat. Tempat beliau kini digantikan oleh Datuk Nelson Renganathan, bekas ketua Pemuda MIC.