Isu pengampunan melibatkan Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi perbincangan hangat selepas bekas Perdana Menteri itu mendakwa wujudnya titah tambahan diraja mengenai hukumannya.
Titah Adendum ini dikatakan memberi kebenaran kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang di bawah tahanan rumah di kediamannya di Kuala Lumpur.
Sehubungan dengan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak melabel Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ‘bodoh’ jika beliau tidak tahu mengenai kewujudan titah ini.
Sedangkan Anwar sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak ikut campur dalam keputusan Lembaga Pengampunan dan menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong semasa mesyuarat lembaga adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.
Muhammad Kamil Abdul Munim selaku Setiausaha Politik Perdana Menteri kemudian tampil menempelak Muhyiddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh itu susulan kenyataan tersebut dikeluarkan.
Kamil mendakwa bahawa pentadbiran kerajaan Madani pada hari ini bukan seperti kerajaan pimpinan Muhyiddin yang sebelum ini dilihat gemar mengundang dukacita Seri Paduka Baginda, lapor Malaysia Kini.
Jelasnya, Muhyiddin yang pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri itu boleh dikatakan ‘agak biul’ sekiranya beliau tidak faham mengenai fungsi dan juga peranan Lembaga Pengampunan.
“Sebagai mantan Perdana Menteri, agak biul dan memalukan jika Muhyiddin tidak faham peranan serta fungsi Lembaga Pengampunan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Hadam perlembagaan sendiri dan kurangkan kebergantungan kepada teks yang disediakan,” kata Muhammad Kamil terhadap Muyhiddin memetik laporan Malaysia Kini.
Terdahulu, Anwar menyifatkan afidavit yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong usaha Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dilakukan atas kapasitinya sebagai Presiden Umno.
Mengulas lanjut, Kamil tetap mempertahankan pendirian pihak kerajaan yang tidak akan campur tangan di dalam urusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja termasuk isu pengampunan Najib.
“Inilah perbezaaan kerajaan Muhyiddin dan kerajaan hari ini yang menjunjung dan hormat kepada Institusi Diraja. Segala keputusan dibuat melalui tatacara dan penuh adab menurut perlembagaan.
“Tidak seperti tindakan kerajaan Muhyiddin yang menarik semula Ordinan Darurat lalu mengundang rasa dukacita Seri Paduka.” Ulasnya.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan rasa dukacita baginda dengan pengumuman pentadbiran kerajaan Muhyiddin berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen.
Baca juga: “Kau ingat abang Azlee Intern?”, Tiz Zaqyah pula sekolahkan produksi bayar RM500 kepada pelakon otai