Malaysia Dateline

Muhyiddin diminta jangan pandang mudah dakwaan Hamid Bador

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin didesak supaya tidak memandang enteng dakwaan mantan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Hamid Bador membabitkan dakwaan wujudnya campurtangan politik dalam operasi perkhidmatan polis.

AMANAH Pulau Pinang memandang serius kenyataan Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya sebagai KPN yang mengkritik keras campurtangan politik, khususnya Menteri Dalam Negeri melibatkan tugas harian dan pelantikan pegawai kanan Polis.

Pengerusinya, Dr Roslan Ahmad (gambar)  dalam kenyataannya berkata dakwaan campurtangan orang politik dalam perkara tersebut yang juga telah disahkan oleh mantan KPN, Tan Sri Musa Hassan semasa pentadbirannya.

“AMANAH Pulau Pinang memuji tindakan kedua-dua mantan KPN yang berani dan tegas menentang sebarang pengaruh politik yang membawa kepada salah guna kuasa dalam perkhidmatan polis.

PDRM mesti kekal sebagai sebuah pasukan penjaga keamanan, keselamatan awam dan keutuhan negara, berintegriti, telus serta bebas dari kongkongan mana-mana pihak.

“Setelah Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengakui audio yang tular di media sosial berhubung pelantikan pegawai kanan polis adalah beliau, maka ia membuktikan kewujudan campurtangan politik boleh menjejaskan ketelusan yang ada dalam PDRM,” ujar beliau.

Sehubungan itu tegas Dr Roslan, saranan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang telah dizahirkan oleh Abdul Hamid harus disegerakan bagi memastikan maruah, akauntabiliti dan integriti PDRM dikembalikan.

Manakala itu kata beliau, Menteri terlibat perlu digantung tugas bagi membolehkan siasatan dibuat secara adil dan telus serta Muhyiddin mesti bertindak dengan segera kerana dakwaan tersebut telah mencemar kepimpinan kerajaan pimpinan beliau.