Malaysia Dateline

Muhyiddin dipersenda: ARMADA beri amaran hentikan perbuatan tidak beradab

Selepas berlalu empat hari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dipersenda di laman media sosial milik Presiden Joko Widodo, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam tadi akhirnya bersuara.

Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya begitu banyak serangan terbabit yang dianggapnya bersifat kurang ajar dan mencalarkan maruah negara.

“Lawatan ke Indonesia adalah sebuah misi diplomasi penting antara dua negara serumpun yang berkongsi bahasa, budaya dan pertalian darah.

“Antara yang dibincangkan ialah kerjasama ekonomi yang bakal memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

“Amatlah tidak patriotik untuk rakyat Malaysia menjatuhkan air muka negara sedemikian rupa,” kata bekas pegawai khas, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan dalam kenyataan malam tadi.

Timbalan Menteri Belia Sukan itu berkata, lontaran kata-kata kesat itu tidak melambangkan budi bahasa sebagai rakyat Malaysia yang menjujung kesopanan dan kesusilaan sebagai salah satu prinsip Rukun Negara.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional 1 tersebut berkata, pihaknya memberi amaran agar perbuatan tidak beradab itu dihentikan serta-merta sebelum ia menjadi barah.

“Jadikanlah prinsip Rukun Negara ini sebagai panduan. Ketegangan politik yang tidak berkesudahan hanya akan merugikan negara.

“Walaupun pandangan politik kita berbeza, ingatlah bahawa niat tidak sekali-kali menghalalkan cara. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” kata Wan Ahmad Fayhsal lagi.