Malaysia Dateline

Muhyiddin dituntut selesai segera pakej penyelamatan ekonomi untuk PKS

Selepas sehari kerajaan diminta menggariskan inisiatif bagi menyelamatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Lim Kit Siang sekali lagi menggesa agar kerajaan tidak menangguhkan pengumuman pakej perlindungan ekonomi kepada golongan terbabit.

Penasihat DAP itu menegaskan, golongan PKS ketika ini berhadapan masalah kewangan yang kritikal dan terpaksa menerima jangkaan tiada aliran masuk tunai sekurang-kurangnya untuk tiga bulan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama sebulan.

Menurutnya, keterdesakan keadaan yang berlaku kini menuntut kerajaan mengeluarkan segera pakej penyelamatan PKS demi menjamin pekerjaan dan pendapatan yang berterusan bagi peniaga dan pekerja sektor itu.

“Kelangsungan perniagaan adalah kunci kepada ketahanan ekonomi. Kerana itu, kerajaan perlu memastikan perniagaan yang bertindak sebagai enjin menggerakkan ekonomi, dapat bertahan dalam pandemik Covid-19.

“Muhyiddin tidak sepatutnya menangguhkan pengumuman ini untuk memastikan Malaysia mampu menghidupkan semula enjin ekonomi tanpa berhadapan kegawatan lain selepas berjaya memerangi ancaman wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Kit Siang berkata, Selain daripada 23 dan 26 Mac di mana jumlah kes merekodkan peningkatan harian sehingga 212 dan 235 kes, kebanyakan jumlah peningkatan harian kekal berada di bawah paras 200 kes sehari.

Justeru beliau berkata, kerajaan perlu berusaha untuk mengekalkan kadar kematian akibat Covid-19 di bawah satu peratus, yang akan melihatkan kadar kematian keseluruhan kekal di bawah 100 kematian.

Sementara itu dalam kenyataan sama hari ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, ancaman wabak Covid-19 berkemungkinan akan berakhir sekiranya tiada lagi kenaikan kes baru yang melebihi kadar tertinggi yang pernah direkodkan sebelum ini.

“Malaysia kemudiannya akan bebas dari mimpi ngeri pandemik Covid-19 yang menimpa sebahagian dunia, khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Sebanyak 27,635 kematian di tiga negara teratas, Amerika Syarikat, Itali dan Sepanyol adalah lapan kali ganda jumlah kematian di China yang mencatat rekod sebanyak 3,312 kes.

“Presiden Amerika, Donald Trump, yang mendakwa virus itu berada di bawah kawalan bulan lalu, kini mengatakan sebanyak 200,000 rakyat Amerika boleh mati dari Covid-19.

“Pihak berkuasa UK sehingga menjangkakan jumlah kematian adalah antara 10,000 hingga 20,000, yang merupakan mimpi terburuk dalam memerangi wabak global ini,” katanya.