Malaysia Dateline

Muhyiddin gesa kemuka bukti berkempen hari mengundi

Pihak yang membuat dakwaan kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih hari ini perlu mengemukakan bukti jika ia benar-benar berlaku.

Presiden Bersatu tersebut berkata, tohmahan tersebut tidak benar memandangkan beliau sudah 40 tahun terlibat dalam mengurus pilihan raya.

“Kalau sesiapa mendapati saya melanggar (peraturan), mereka tahu di mana mereka harus buat laporan.

“Ini semua tohmahan kerana ini bukan kali pertama saya (terlibat dalam pilihan raya). Saya sudah urus pilihan raya dalam tempoh 40 tahun,” jelasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Muhyiddin juga memberitahu beliau bahkan tidak turun berkempen semalam mahu pun hari ini.

Mengulas situasi proses membuang undi hari ini, Menteri Dalam Negeri itu berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku yang boleh mengganggu perjalanan pilihan raya.

“Ada provokasi di satu dua tempat sahaja dan hanyalah kecil.

“Pihak keselamatan terus memantau keadaan dan setakat ini semuanya berjalan lancar” jelasnya lagi.