Malaysia Dateline

Muhyiddin, Hadi bincang persiapan PRU-15

Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang turut dihadiri Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi.

Mesyuarat itu antara lain menyentuh beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, mesyuarat tersebut juga membincangkan dan mempersetujui untuk memperkemaskan gabungan parti anggota PN.

Menerusi catatan di laman Facebook beliau malam tadi, mesyuarat berkenaan turut membincangkan pengukuhan kerjasama dengan parti dalam kerajaan pimpinan PN serta melaksanakan program segera bagi memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

“Majlis Tertinggi PN terus komited untuk menzahirkan aspirasi kerajaan dan rakyat seluruhnya,” katanya.

Turut hadir mesyuarat itu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan semua ahli Majlis Tertinggi lain.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Abdul Hadi dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengenai usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama antara ketiga-tiga parti terbabit.

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga secara maya pada 28 November lalu, Muhyiddin berkata, sudah tiba masanya bagi sebuah Majlis Presiden dianggotai ketua parti yang membentuk kerajaan PN dibentuk.

PN membentuk kerajaan menggantikan Pakatan Harapan (PH) ketika memuncaknya krisis politik negara dengan hanya mempunyai majoriti mudah dua kerusi.

Gabungan PN terdiri daripada Bersatu, Pas, STAR, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pendaftaran PN diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos lalu.