Malaysia Dateline

Muhyiddin harap pengundi sokong penuh calon Bersatu

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap agar pengundi Tanjung Piai menyokong penuh dan mengundi calon mereka yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 November ini.

Beliau berkata, setiap pengundi diharap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang dianggap sebagai memberi signifikan besar kepada Pakatan Harapan biarpun ianya sekadar PRK.

“Kita mahu lihat supaya pengundi yang ada seramai 53,000 dari semua kaum di mana Melayu 57 peratus, Cina 42 peratus dan India 1 peratus, akan keluar mengundi.

“Ini demi memastikan calon bertanding terutama PH akan mendapat undi besar dan memberi kemenangan jadi wakil Parlimen Tanjung Piai.

“Saya harap dalam keadaan apa sekalipun, tanggungjawab sebagai pengundi adalah amat penting dan kita mahu supaya peratusan pengundi yang keluar adalah tinggi walaupun dia merupakan PRK tapi dia beri signifikan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas penamaan calon di Dewan Jubli Intan, Pontian, hari ini.

Jelas beliau, PRK kali ini memberikan peluang yang baik untuk pemimpin memberikan sokongan agar kawasan Tanjung Piai kekal menjadi milik PH, sekaligus memudahkan calon meneruskan tugas yang telah pun dilaksanakan oleh Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

“Kita percaya bahawa pemilihan yang telah dibuat oleh pimpinan PH untuk meletakkan Karmaine Sardini sebagai calon adalah pilihan tepat.

“Beliau merupakan tokoh yang berpengalaman, cukup berkelayakan, mempunyai perwatakan dan pegangan agama yang kuat,” ujarnya.

Menurutnya, PH akan terus memberi fokus kepada lima perkara utama yang akan menjadi agenda dan tema penting dalam kempen demi menjelaskan isu pokok yang dihadapi oleh penduduk terutama dalam membantu menangani kos sara hidup.