Malaysia Dateline

Muhyiddin harus guna logo PN jika ingin dinamakan PM, kata penganalisis

Jenama atau logo Perikatan Nasional (PN) seharusnya diuji terlebih dahulu sama ada dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri.

PRN Sabah yang akan diadakan dalam masa terdekat dan ini adalah peluang terbaik untuk menguji jenama PN itu, kata penganalisis politik Mohd Yusri Ibrahim.

Namun katanya, sehingga sekarang masih kabur sama ada jenama dan lambang tersebut sempat digunakan atau tidak untuk PRN Sabah ini, seterusnya untuk PRU15 nanti.

“Mengikut perancangan asal, lambang PN akan dilancarkan petang ini di Sabah oleh PM untuk digunakan dalam PRN nanti, namun katanya dibatalkan atas beberapa sebab,”katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di UMT berkata, formulanya mudah, jika Muhyiddin ingin terus dinamakan sebagai perdana menteri selepas PRU15 nanti, beliau perlu menggunakan lambang PN dan mengetuai perikatan tersebut menghadapi PRU15 ini.

Jika menggunakan jenama dan lambang lain, tambahnya risiko sangat tinggi kepada beliau dan Bersatu, berpotensi untuk dirampas sama ada selepas parlimen dibubarkan atau selepas keputusan diperolehi.

“Politik adalah sebahagian seni peperangan (art of war), kawan dan lawan semuanya berisiko, tiada sebarang ketentuan untuk hari esok,” katanya.

Beliau tidak menolak populariti kerajaan PN dalam kalangan rakyat pada masa ini agak tinggi, disumbangkan oleh beberapa faktor yang signifikan.

Begitu juga, katanya dengan populariti TS Muhyiddin sebagai PM sangat tinggi, melebihi populariti yang pernah dikecap oleh Najib dan Tun M dalam tempoh 22 bulan mengetuai kerajaan PH.

“Kedua-dua elemen ini boleh jadi modal besar untuk PN memasuki kempen PRU15, menggunakan jenama PN dan menamakan TS Muhyiddin sebagai calon PM,” kata beliau.

Menurut sumber, logo yang tertera nama gabungan itu dengan tulisan warna putih dengan latar belakang warna biru, didedahkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan pemimpin parti di Sabah hari ini.