Malaysia Dateline

Muhyiddin harus telan sejarah buruk yang beliau cipta

Muhyiddin anak kiyai Yassin harus bertanggungjawab dengan sejarah buruk yang beliau sendiri cipta. Memang bagai mimpi indah bila tiba-tiba nama dipanggil untuk menjadi Perdana Menteri sehingga membuatkan diri terus bersujud syukur.

Namun segalanya telah tertulis, apa yang perlu dihadapi kini adalah sejarah hitam demokrasi negara yang telah memaparkan nama beliau sebagai punca sebenar kerosakan politik dalam negara ini. Demi kerana cintakan cita-cita, beliau sanggup lakukan apa sahaja.

Ketidak tentuan politik hari ini menghujahkan pelbagai maksud antaranya kerosakan ekonomi negara, ketidak tumpuan kepada rakyat kerana sibuk mencatur setiap hari dan yang paling sedih apabila belanja yang banyak diperlukan untuk menjaga ‘orang’ sebagai ikatan untuk tidak melawan beliau.

Kini keadaan semakin tersepit untuk Muhyiddin mencari jalan keluar apabila kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang serba serbi mencari salah untuk memerangkapnya. Itulah hasil usaha pengkhianatan yang dilakukan oleh beliau terhadap PH hujung Februari yang lalu.

Punca bermula apabila beberapa nama seperti Azmin Ali, Hamzah Zainuddin dan beliau sendiri yang memulakan tindakan yang digelar ‘Langkah Sheraton’ berlaku. Terbentuklah kerajaan pengkhianat atau ada yang memanggil sebagai tebuk atap.

Rakyat harus simpan nama-nama ini untuk diceritakan kepada generasi akan datang. Sekiranya ditanya berkenaan apa yang berlaku hari ini, jawablah dengan tenang dan lidah yang fasih bahawa pemula dari segala kerosakan dalam sosio kepimpinan negara ini dari nama-nama yang disebut di atas.

Begitulah kejamnya manusia yang berkepentingan demi mendapatkan kuasa dan pasti akan terkubur suatu sistem atau budaya yang baik dalam negara seperti demokrasi yang diamalkan sejak sekian lama.

Ketidak tentuan politik ini tidak akan berakhir dan sekiranya rakyat tidak memberikan mandat kepada Muhyiddin bersama rakan-rakannya, beliau akan memulakan lagi ‘Langkah Sheraton’ untuk menumbangkan kerajaan yang baharu selepas PRU 15 nanti.

Sampai bila keadaan ini tidak akan aman dan yang pasti, rakyat menjadi korban utama akibat keberlangsungan kepimpinan yang dilihat tidak mampu menghasilkan sesuatu yang baik. Teringat kata-kata Sultan Perak apabila keluhan baginda menyebut pertukaran tiga MB bukti sebuah kegagalan.


Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysia Dateline.