Malaysia Dateline

Muhyiddin hilang majoriti, sokongan Umno kepada Anwar pasti bersyarat

Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap telah pun kehilangan sokongan majoriti di Parlimen selepas Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akur dan tidak menghalang ahlinya untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Muhyiddin tidak boleh lagi bertegas mempunyai majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri jika kenyataan Zahid adalah benar atas kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Apa yang penting katanya, penelitian perlu dilakukan sama ada Perdana Menteri masih mempunyai majoriti untuk kekal di kerusinya dan Anwar yang mempunyai majoriti juga perlu dibuktikan.

“Bagi pihak saya, Muhyiddin dari peringkat awal lagi tidak mempunyai majoriti tetapi telah berjaya menutup kebenaran itu dengan membawa ketua-ketua parti mengadap Yang di-Pertuan Agong dan membuat bilangan secara pukal tanpa perlu memperinci siapa ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya.

“Kerana itu, sejak dari pengisytiharan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, saya telah meminta supaya satu undi tidak percaya dapat diusulkan di Parlimen untuk menyelesaikan masalah ini.

“Jika Muhyiddin berjaya mengalahkan undi tidak percaya itu maka selepas itu tidak timbul lagi isu dia tidak dapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin pada masa ini mempunyai majoriti tipis dengan risiko kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang jika ada mana-mana ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka.

Pada masa sama, Anwar pula mendakwa beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan besar untuk membentuk kerajaan baharu dengan perincian jumlah tersebut akan dibawa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Mahathir yang juga pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, ketika beliau membuat pendirian menolak kerjasama dengan Umno secara en-bloc, Muhyiddin pula rela bekerjasama dengan parti itu secara en-bloc walaupun Muhyiddin boleh diugut jika kemahuan Umno tidak tercapai.

Seperti yang dijangka kata Mahathir, kenyataan Ahmad Zahid semalam mengesahkan bahawa sokongan Umno kepada PN memang bersyarat.

Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga yakin bahawa sokongan Umno kepada Anwar pasti bersyarat walau tidak diumum.

“Walaupun Datuk Seri Anwar kata dia tidak menerima sokongan dari enam ahli Parlimen yang menghadapi kes mahkamah, sudah pasti yang memberi sokongan kepada Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada Datuk Seri Najib dan Ahmad Zahid.

“Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Muhyiddin dan menarik balik sokongan dan jatuhkan kerajaan,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi.