Malaysia Dateline

Muhyiddin ingatkan Perkasa berhimpun secara aman, patuhi undang-undang

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan penganjur dan peserta Himpunan Jihad Perkasa yang akan diadakan hari ini agar berhimpun secara aman dan mematuhi undang-undang sepanjang perhimpunan itu.

Katanya ini termasuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan hubungan kaum.

“Malaysia baru sahaja melalui insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield yang telah menyebabkan keresahan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya dalam catatan menerusi laman Facebook.

Bagi memastikan perhimpunan itu berlangsung dengan aman dan berlandaskan undang-undang, Muhyiddin berkata polis akan memantau sepenuhnya dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.

Justeru, beliau menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan yang telah berjaya dikawal ketika ini.

Perhimpunan itu dianjurkan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) bersempena persidangan agung tahunan ke-9 pertubuhan tersebut.

“Saya percaya PERKASA sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang telah lama ditubuhkan di bawah kepimpinan yang bertanggungjawab pasti memahami dan sentiasa mendukung prinsip kedaulatan undang-undang, keharmonian rakyat, ketenteraman dan keamanan negara,” kata Muhyiddin.

— BERNAMA