Malaysia Dateline

Muhyiddin, Ismail Sabri bertemu Menteri Pertahan China

Tular satu gambar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan baru sahaja mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan China pada Isnin lalu.

Menurut laporan portal Xinhuanet di China, pertemuan Muhyiddin bersama Menteri Pertahanan negara itu, Wei Fenghe adalah bagi membincangkan kerjasama dua hala antara dua negara.

Menerusi laporan itu, Muhyiddin mengatakan Malaysia bersedia untuk bekerjasama dalam semua bidang termasuk pertahanan, ekonomi dan perdagangan, serta pendidikan.

Pada hari yang sama juga, Wei mengadakan pertemuan rasmi dengan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di mana kedua-dua pihak saling bertukar pandangan mengenai isu semasa termasuk situasi antarabangsa dan serantau, hubungan antara kedua-dua tentera dan juga Laut China Selatan.

Ismail Sabri sempat mengadakan majlis alu-aluan untuk menyambut Wei, di mana Wei memeriksa pengawal kehormat tentera Malaysia.

Pagi tadi, bekas Timbalan Menteri pertahanan Liew Chin Tong mempersoalkan tindakan Putrajaya menyekat laporan mengenai pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia dengan China.

Katanya, ia sepatutnya mendapat liputan kerana China merupakan antara satu lagi kuasa besar selain Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kepentingan di rantau ini.

“Saya pun tak faham kenapa lawatan Menteri tidak diberi liputan di Malaysia sehingga media pun dapat sumber dari China,” katanya.