Malaysia Dateline

Muhyiddin jadikan demokrasi sebagai ‘musuh’ untuk kekal kuasa

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan Muhyiddin Yassin berpolitik dengan mengukuhkan kedudukannya melalui krisis Covid-19.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, langkah terdesak Muhyiddin yang terkini adalah memastikan permainan angka berpihak kepadanya setelah hilang majoriti pada hari pengumuman proklamasi darurat Januari lalu.

“Ahli Parlimen PKR yang lompat adalah bukti TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berpolitik untuk kukuhkan kedudukan beliau yang rapuh sebagai PM.

“TSMY semakin tertekan sehingga sanggup kini gadaikan demokrasi dengan melakukan ‘purge demokrasi’ untuk sekat pesaingnya DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) demi ‘nyawa’ kuasanya yang semakin merosot,” katanya.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli Parlimen PKR yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus meninggalkan PKR.

Dua SD terbabit dibuat oleh Ahli Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

Mereka menandatangani SD dan menyerahkan kepada Muhyiddin selepas sesi pemukiman Kabinet sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mujahid menyifatkan taktik tawaran, ugutan dan janji manis digunakan tanpa berasa bersalah kepada prinsip demokrasi dan kebebasan yang menjadi teras politik beradab.

“Tindakan ini adalah ‘purging democracy’ menghapuskan demokrasi yang menjejaskan pertimbangan mandat dan kehendak rakyat demi kepentingan sendiri.

“Taktik TSMY mengheret negara kepada kebiadaban politik yang dikhuatiri membawa kepada permusuhan dengan demokrasi,” bidasnya lagi dalam satu kenyataan.