Malaysia Dateline

Muhyiddin jumpa Dong Zong Johor, RoS esok

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu dengan Dong Zong Johor dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) esok bagi membincangkan isu pembatalan pendaftaran persatuan di bawah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu.

Katanya beliau difahamkan pembatalan Dong Zong Johor disebabkan oleh masalah pengurusan yang tidak mematuhi peraturan-peraturan di bawah RoS.

“Saya telah diberi satu laporan dan esok mereka akan hadir, saya akan jemput RoS bersama-sama dan lihat apa yang boleh dilakukan. Mana yang boleh kita perbetulkan, kita perbetulkan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, Dong Zong dilaporkan mengemukakan surat rayuan kepada KDN berhubung pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor oleh RoS negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong dilaporkan berkata Dong Zong pada 20 Ogos lepas menerima surat pembatalan bertarikh 8 Ogos daripada Pengarah RoS Johor dengan alasan tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan penglibatan guru.