Muhyiddin kemuka  senarai nama bagi jawatan menteri, timbalan menteri hari ini

Muhyiddin kemuka senarai nama bagi jawatan menteri, timbalan menteri hari ini

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengemukakan senarai calon parti itu untuk pertimbangan jawatan menteri atau timbalan menteri kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita telah kemukakan dan kita serah kepada kebijaksanaan beliau (Perdana Menteri) untuk mempertimbangkan supaya perwakilan PPBM dalam kerajaan berperanan,” kata Muhyiddin, yang sebelum ini dinamakan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini pada kira-kira 1 tengah hari bagi menyerahkan senarai itu.

Muhyiddin dilihat memasuki yayasan, yang menempatkan pejabat Dr Mahathir, itu kira-kira 11.30 pagi.

Timbalan Presiden Pakatan (PH) itu juga berkata, parti lain dalam gabungan itu juga telah mengemukakan senarai masing-masing kepada Dr Mahathir untuk dipertimbangkan dalam tempoh beberapa hari ini, supaya proses pembentukan kerajaan dan jemaah menteri dapat disegerakan.

“Kita hendak mula bekerja kerana kita telah menerima mandat yang besar, harapan rakyat begitu tinggi dan mereka ingin melihat sama ada kerajaan ini kerajaan yang betul betul bekerja atau bagaimana,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo turut dilihat meninggalkan bangunan yayasan itu pada pukul 10.10 pagi.

COMMENTS

Wordpress (0)