Malaysia Dateline

Muhyiddin kuarantin 14 hari selepas Menteri Agama positif Covid-19

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas salah seorang Menteri Kabinetnya disahkan positif Covid-19 hari ini.

Beliau memaklumkan telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 September lalu, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada masa sama katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan pengesanan Covid-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat tersebut.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, mereka yang dikenalpasti kontak rapat semasa mesyuarat itu telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan.

“Ahli mesyuarat yang bukan merupakan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula 3 Oktober 2020 hingga 16 Oktober 2020.

“Mereka perlu memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebentar tadi, Zulkifli disahkan positif Covid-19 dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Sehubungan dengan itu, Senator itu menyeru supaya semua pihak yang berhubung dengannya bermula 24 September sehingga 4 Oktober untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau telah melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 setiap dua minggu sejak April 2020 dan kesemua ujian pengesanannya telah disahkan negatif.

Selain itu, beliau juga melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati negatif.