Malaysia Dateline

Muhyiddin letak jawatan atas kehendaknya sendiri?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak di media sosial, orang cepat printscreen. Mungkin situasi itu sesuai untuk mereka bergelar ahli politik.

Terbaharu, Ahli Parlimen Ketereh yang juga Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengaku tersalah taip apabila merujuk Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menteri Wilayah Persekutuan menulis demikian dalam ciapan Twitter miliknya sebagai reaksi terhadap Titah Diraja hari ini berhubung keputusan muktamad bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu.

Susulan insiden yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu, Annuar menganggap gelaran kerajaan pintu belakang tidak harus lagi dikaitkan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

So DYMM Tuanku menitahkannya secara RASMI di Parlimen bahawa PM ke 7 resign atas kehendaknya sendiri. Tiada lagi isu pintu belakang. TUTUP BUKU,” kata Annuar.

Bagaimanapun selepas ciapannya itu tular, dia kemudiannya memaklumkan, “PM ke 7. Maaf Typo“.

Ekoran itu, ada antara pengguna Twitter mencadangkan agar reaksi pemimpin Umno itu dipadam sahaja dengan digantikan kenyataan baharu.

Tidak kurang juga ada yang secara sinis mengingatkan Annuar tentang keberkatan bulan Ramadan.

“Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak taip, boleh jadi doa bulan Ramadan ni Tan Sri,” kata pengguna Twitter, Syukri Majid.

Pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Diraja menyatakan rasa dukacita namun terpaksa akur dan menghormati keputusan Mahathir untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Dalam Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen itu juga, Seri Paduka bertitah telah berkenan menerima menghadap Mahathir kira-kira jam 5 petang pada hari yang sama.

Disebabkan Mahathir nekad dengan keputusannya, Seri Paduka kemudiannya mengadakan sesi pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka pada 25 dan 26 Februari lalu.

Selanjutnya, pada 29 Februari, Sultan Abdullah telah menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.