Malaysia Dateline

Muhyiddin lupa dia menteri kerajaan PH sebelum ini

Bekas menteri dan timbalan menteri pertanian dan industri asas tani mempertikaikan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang elaun sara hidup untuk nelayan.

“Sudahkah Tan Sri Muhyiddin lupa beliau bersama Pakatan Harapan dahulu?” soal Datuk Seri Salahuddin Ayub dan timbalannya Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan mereka.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bangganya mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 sebulan.

Bagi mereka, pengumuman tersebut ternyata bukan satu kebetulan kerana ia dibuat di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Ini kerana rakyat negeri Sabah akan keluar mengundi pada 26 September ini.

“Tetapi yang lebih memusykilkan adalah apabila Tan Sri Muhyiddin menyalahkan Parti Warisan Sabah yang bersama Pakatan Harapan ketika Elaun Sara Hidup Nelayan telah dipotong.

“Sudahkah Tan Sri Muhyiddin lupa bahawa beliau merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan dahulu?

“Beliau merupakan anggota jemaah menteri dan seingat kami beliau tidak pernah membantah pemotongan Elaun Sara Hidup Nelayan yang dilakukan ketika itu.

“Barangkali Tan Sri Muhyiddin juga lupa bahawa Pakatan Harapan telah berjanji untuk meningkatkan Elaun Sara Hidup Nelayan sekiranya situasi ekonomi mengizinkan,” kata mereka.

Menurut mereka berdua, walaupun wadah politik mereka sudah berbeza, Tan Sri Muhyiddin tidak seharusnya menyalahkan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah tanpa mengingati bahawa beliau merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan sebelum ini.