Malaysia Dateline

Muhyiddin mesti letak jawatan gagal tangani Covid-19, kata Khalid

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana gagal mengawal penularan jangkitan pandemik Covid-19.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak mengikut kepentingan politik sehingga kes harian meningkat dengan tertinggi sebanyak 1,228 semalam.

Walhal, tegasnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjaya menangani Covid-19 dengan 11 hari tiada kes Covid-19 dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bukan sekadar atas sebab tiada majoriti, Muhyiddin mesti letak jawatan atas kegagalan menangani Covid-19.

“Perbandingan prestasi menangani Covid-19 pada zaman PH dan zaman PN. Zaman PH berakhir dengan 11 hari tanpa kes.

“PN bertindak mengikut kepentingan politik. Kes meningkat,” katanya dalam ciapan di Twitter semalam.

Mengimbas kembali rekod kes Covid-19 ketika era pentadbiran PH, Khalid menegaskan kejayaan menangani gelombang pertama dengan baik dengan hanya 22 kes dan semua pulih dirawat serta tiada kematian.

Sebaliknya, kes wabak berbahaya itu, katanya, muncul menjadi tidak terkawal kerana PN sibuk berpolitik.

“PN ambil alih, sibuk berpolitik, berlaku gelombang kedua. Tak terkawal sehingga terpaksa laksana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Terus sibuk berpolitik, sekarang gelombang ketiga. Wajar PN berundur,” tegas Khalid lagi.