Timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru setiap perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno yang akan bermula esok bersuara untuk menyampaikan isi hati mereka.
“Teruskan bersuara. Jangan gentar dengan tekanan. Saya merayu kepada ahli parti (Umno) untuk menyiarkan kebenaran,” kata Muhyidin yang turut mengingatkan peranan anak muda demi masa depan tanah air.
Muhyidin sedar beliau mungkin dicela dalam perhimpunan bermula esok tetapi beliau redha dengannya.
“Saya sudah tunaikan tanggungjawab kepada saudara. Panjang sikit (ucapan), minta maaf. Ini semua atas dasar cinta kepada parti keramat ini.
“Dalam perhimpunan (Agung Umno), mungkin saya menjadi celaan. Salahkah saya bercakap? Saya bercakap atas dasar prinsip. Jika saya berdiam diri fikirkan kedudukan saya, itu tidak adil,” katanya dalam himpunan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, dekat Kuala Lumpur.
Menyambut ucapan Timbalan Presiden Umno itu, orang ramai membayangkan mereka nekad mahu Datuk Seri Najib Tun Razak segera berundur.
Dipercayai sebahagian besar hadirin merupakan ahli atau penyokong Umno, mereka bertepuk tangan sambil bersorak apabila Muhyiddin menyebut tentang desakan rakyat supaya Najib meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
“Jangan fikir tutup isu ini (1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion) dengan tidak benarkan ahli bercakap, mengadakan pandangan mereka akan selamatkan parti,” tegas Muhyiddin dalam ucapannya selama 1 jam 20 minit itu.
Kenyataan beliau juga dilihat lebih ‘garang’ apabila menegaskan pihak yang bertanggungjawab harus dihadapkan ke muka pengadilan walaupun tidak menyebut nama Najib secara khusus.
“Kita lihat kesan 1MDB menjejaskan iklim sentimen pelaburan, kejatuhan nilai ringgit seperti diakui pakar ekonomi. Segala aset strategik 1MDB terpaksa dilelong tapi daripada hasil jualan itu terpaksa diguna untuk bayar hutang 1MDB.
“Jual harta dengan harga istimewa, TRX Jual, Edra jual, Bandar Malaysia dijual, digadai tapi hasil jualan bukan untuk rakyat sebaliknya negara kerugian berbilion ringgit,” ujarnya dalam program yang turut dihadiri Tun Mahathir dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau bimbang isu RM2.6 bilion yang diakui sendiri telah diterima oleh Najib tidak mustahil akan mengheret Umno ke mahkamah ekoran dakwaan Najib sebelum ini mengaitkan ‘derma’ tersebut dengan Umno.
“Saya tidak mahu parti kita jangan sekali-kali terheret dalam kemelut dialami Presiden dan Perdana Menteri kita. Jika wang itu (RM2.6 bilion) untuk Umno, BN kita minta pulangkan kepada kita. Wang itu boleh diurua ikut perlembagaan parti,” katanya.
Mengulas penjelasan Zahid Hamidi hanya beberapa minit tentang ‘derma’ tersebut, beliau terus mempersoal kegagalan Najib untuk tampil memberi penjelasan sebaliknya hanya mewakilkan kepada Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri untuk menjawab.
“Kenapa suruh timbalan? Banyak persoalan tidak terjawab. Tergantung atas kepala kita sekarang tidak terjawab. Dengan jawapan kabur, selalu berubah, saya fikir lebih banyak persoalkan yang timbul bertanding jawapan. Rakyat akan mempertikaikan pemimpin dan parti,” tegasnya.