Malaysia Dateline

Muhyiddin mungkin takut orang kelilingnya khianat

Perdana Menteri selaku Ketua Eksekutif, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat berada dalam keadaan tidak yakin dengan sejumlah Ahli Parlimen kerajaan yang konon menyokongnya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat faktor persidangan Dewan Rakyat esok hanya menyaksikan Titah Diraja sahaja.

“Ini bukan sidang Parlimen. Kerajaan PN terlalu lemah. Hakikatnya dia (Muhyiddin) dikelilingi orang yang tidak berfikir panjang tentang soal pengkhianatan antara satu sama lain.

“PN merupakan kerajaan tangkap muat yang terdiri daripada golongan yang mengkhianati mandat rakyat dan juga pihak yang ramai didakwa di mahkamah.

“Maka Muhyiddin mungkin merasakan takut-takut walaupun orang kata ya (sokong). Tapi bila datang usul undi tidak percaya maka ada yang akan khianat dan dia akan dijatuhkan juga,” bidasnya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian dalam Ceramah Harapan atas talian bertajuk “Kembalikan Mandat Rakyat – Undi Tak Percaya” malam tadi.

Turut serta dalam ceramah FB Live yang dimoderatorkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai itu adalah ahli strategi DAP, Liew Chin Tong (Kluang); Pengerusi Tetap Warisan, Datuk VK Liew (Batu Sapi) dan Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat.

Pada 14 Mei lalu, lima pimpinan tertinggi parti komponen Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan bersama kesal kerana Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 tidak diadakan secara persidangan penuh.

Kenyataan itu juga menyebut, mereka terkejut dengan pengumuman penukaran Setiausaha Dewan Rakyat berkuat kuasa 13 Mei, lima hari sebelum Parlimen mendengar Titah Diraja.

Ia ditandatangani bersama Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH; Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Untuk rekod, Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu menerusi gerakan yang digelar ‘Langkah Sheraton’.

Pemilihan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri disokong oleh Umno melalui Mufakat Nasional bersama Pas yang kemudiannya bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA serta MIC bagi mewujudkan kerajaan PN.