Malaysia Dateline

Muhyiddin mungkiri janji, Sabah paling terjejas dibadai Covid-19

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertindak segera dan tidak boleh lagi menyorok di belakang Ketua Pengarah Kesihatan, tegas Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Pemimpin veteran DAP itu berkata, Muhyiddin sehingga kini masih belum mengadakan apa-apa sidang tergempar bersama Kabinetnya untuk membincangkan gelombang ketiga Covid-19 yang sedang melanda negara.

Walhal katanya, ini adalah masa untuk Muhyiddin membantu Sabah seperti yang dijanjikannya sekiranya negeri itu memilih untuk berada sejajar dengan kerajaan Persekutuan.

“Muhyiddin telah memungkiri janji ini apabila beliau membiarkan Sabah berada dalam gelombang ketiga wabak Covid-19 ini.

“Daripada negeri termiskin di Malaysia, Sabah kini menjadi negeri yang paling terjejas dengan Covid-19.

“Adakah ini yang dijanjikan oleh Muhyiddin kepada rakyat Sabah?,” soalnya dalam satu kenyataannya hari ini.

Untuk rekod, bermula 1 September sehingga 11 Oktober sahaja, Sabah telah mencatatkan 3,921 kes Covid-19 yang merupakan 25 peratus daripada keseluruhan 15,657 kes.

Sabah juga merekodkan 33 kematian iaitu 21 peratus daripada keseluruhan 157 kematian di seluruh negara.

Sebanyak 788 kes Covid-19 telah dicatatkan di Sabah dalam tempoh 12 hari berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung antara 12 sehingga 26 September.

Justeru itu, Kit Siang menyeru agar Presiden Bersatu itu segera mengadakan satu mesyuarat khas Kabinet beliau melalui Zoom untuk menggerakkan semua sumber bagi membantu Sabah memerangi wabak Covid-19.

Beliau juga senada dengan seruan doktor pakar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyeru Muhyiddin untuk ‘bangun’ dan berhenti mengabaikan nasihat daripada kementerian itu serta memastikan mana-mana orang kenamaan yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) ini dibuang daripada jawatan mereka.

“Adakah Muhyiddin akan mula dengan membuang Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairudin Aman Razali?,” sindir Kit Siang lagi.