Muhyiddin nafi pernah terima peruntukan daripada wang RM2.6 bilion

Oleh MALAYSIADATELINE

Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang berkata bekas timbalan presiden Umno itu pernah menerima dana daripada wang RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri.

“Fitnah sefitnah-fitnahnya. Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tak terima satu sen pun,” kata Muhyiddin ketika berucap dalam siri ceramah Jelajah Semarah yang diadakan di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.

Sebelum ini Nazri mendakwa Muhyiddin dan bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, pernah menerima peruntukan daripada wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Najib dan pemimpin Umno sebelum ini berkata wang itu merupakan sumbangan kerajaan Arab Saudi kepada parti itu untuk kempen pilihan raya umum 2013, menafikan dakwaan ia berkait entiti 1MDB seperti dipetik The Wall Street Journal (WSJ) berdasarkan kertas siasatan terhadap syarikat itu.

Muhyiddin dan Shafie dipecat daripada kabinet pada 2015 selepas kedua-dua mereka lantang mempersoalkan isu 1MDB susulan pendedahan WSJ itu.

Nazri berkata beliau menerima sejumlah RM500,000 daripada Najib bagi membantu pembaikan rumah di kawasan Parlimennya di Padang Rengas.

“Nazri kata saya dapat duit. Mana ada duit, dah tak ada modal lagi dah,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.

Sebelum ini, Shafie yang kini mengetuai Parti Warisan Sabah turut menafikan dakwaan Nazri.