Malaysia Dateline

Muhyiddin nafi terlibat dalam persetujuan lepas tanpa bebas Riza Aziz

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan beliau terlibat dalam persetujuan melepaskan tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan beliau menegaskan persetujuan tersebut dicapai oleh pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara

“YAB Perdana Menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini termasuk kes-kes berprofil tinggi,” katanya.

Mahkamah Sesyen 14 Mei lalu melepas tanpa membebaskan anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz berhubung lima pertuduhan membabitkan dirinya dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan mahkamah  bergantung kepada pematuhan Riza Aziz terhadap persetujuan yang dicapai bersama pendakwaan untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang didakwa berkaitan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, sekiranya Riza gagal untuk mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Kerajaan Malaysia dijangka menerima aset luar negara bernilai RM465.3 juta, hasil persetujuan yang dicapai untuk Riza Aziz dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram.