Malaysia Dateline

Muhyiddin kata pangku Pengerusi Bersatu, SU Agong kata Tun paling berkuasa

Ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan memangku jawatan Pengerusi parti itu sehingga pemilihan diadakan nanti, Setiausaha Agong Bersatu berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad telah diterima menjadi Pengerusi Bersatu semula.

Muhyiddin berkata, menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baharu.

Namun begitu, sebelum ini media melaporkan Tun Mahathir telah diterima menyertai Bersatu semula dan memegang jawatan itu.

“Bersatu belum mengadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi yang baharu.

“Justeru, saya selaku Presiden memangku jawatan Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan diadakan kelak,” maklum beliau dalam kenyataan sebentar tadi.

Isnin lalu, selain meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu.

Menurut Datuk Marzuki Yahaya, Setiausaha Agong Bersatu, Tun Mahathir telah menerima kembali jawatan sebagai Pengerusi Bersatu pada 27 Februari (Khamis) lepas.

Kata Marzuki, menurut perlembagaan dan rule of law, Pengerusi Bersatu paling berkuasa dalam parti itu dan mempunyai kuasa mutlak.