Malaysia Dateline

Muhyiddin pasti sudah nampak belang Umno, kata Khalid

Pakatan Harapan (PH) mesti bersedia untuk menerima kembali Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin walaupun sebagai Perdana Menteri, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, perkara paling penting pada masa ini ialah memastikan negara selamat daripada jatuh kepada golongan kleptokrat.

“Jika beliau (Muhyiddin) ingin kembali, PH mesti bersedia untuk terimanya balik walaupun sebagai Perdana Menteri.

“Kita masih boleh selamatkan keadaan. Apa yang terpenting sekarang adalah agenda kita untuk selamatkan negara daripada kembali ke tangan pengkhianat dan penyamun,” jelasnya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata demikian dalam temubual eksklusif di pejabat Malaysia Dateline hari ini.

Menurutnya, PH sedang berusaha untuk menangani pergolakan politik yang berlaku supaya Malaysia tidak kembali dikuasai oleh pihak yang terbukti terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“Muhyiddin pun pasti sudah nampak belang Umno. Lihat apa sudah berlaku di Melaka apabila BN negeri tarik semula kerjasama dengan Bersatu.

“Masalah juga pasti akan berlaku di Perak. Akhirnya, Bersatu akan ‘ditelan’ di peringkat Persekutuan,” ujarnya.

Mengulas tindakannya menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Muhyddin mengajak beliau membawa kembali Bersatu kepada PH, Khalid berkata, Bersatu pada realitinya tidak mempunyai kekuatan.

“Umno mempunyai jumlah kerusi lebih banyak daripada Bersatu. Mereka (Bersatu) akan akur akhirnya kepada kehendak Umno. Muhyiddin harus insaf, menyedari realiti ini. Dia ada pilihan untuk kembali kepada PH.

“Kita sudah nampak sebelum ini, Tan Sri Musa Aman (bekas Ketua Menteri Sabah) sudah memohon untuk kesnya ditarik balik.

“Kita yakin tidak mustahil hal yang sama akan dibuat selepas ini oleh Najib Razak (bekas Presiden Umno), Zahid Hamidi (Presiden Umno), Ku Nan (bekas Menteri Wilayah Persekutuan), Abdul Azeez Abdul Rahim (Ahli Parlimen Baling) dan lain-lain,” katanya.

Sehubungan itu, jelas Khalid, segala kehendak rakyat supaya pentadbiran kerajaan dibersihkan dari rasuah dan kleptokrat tidak akan berjaya dicapai jika Umno-BN kembali menguasai Putrajaya.

Untuk rekod, Musa pada 12 Februari lalu memfailkan permohonan membatalkan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah atas alasan pertuduhan dihadapinya tidak berasas.

Khalid ketika singgah di pejabat Malaysia Dateline hari ini.