Malaysia Dateline

‘Muhyiddin pasti tiada niat biar negara kembali ke tangan penyamun’

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai niat untuk membenarkan negara jatuh ke tangan pemimpin yang terpalit dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Menurutnya, Perdana Menteri itu berjanji hanya akan melantik jemaah menteri daripada kalangan pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber, selaras kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan bebas rasuah.

Sehubungan itu, katanya, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu perlu membawa parti tersebut kembali kepada Pakatan Harapan (PH) demi kepentingan rakyat dan negara.

“Keutamaan kita sekarang ialah cuba untuk selamatkan kerajaan daripada jatuh kepada tangan penyamun.

“Saya yakin Muhyiddin tidak punya niat ini (negara kembali dikuasai kleptokrat). Muhyiddin pun tidak mahu negara kita kembali kepada perompak.

“Beliau (Muhyiddin) pun sudah berjanji akan melantik anggota jemaah menteri daripada kalangan mereka yang bersih, berintegriti dan berkaliber,” katanya dalam temubual eksklusif di pejabat Malaysia Dateline semalam.

Pada 2 Mac lalu, Muhyiddin dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi rangkaian televisyen dan media sosial berjanji hanya akan melantik jemaah menteri daripada kalangan pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Tenggelam

Walau bagaimanapun, Khalid berpendapat hasrat tersebut sukar dilaksana memandangkan Bersatu pada masa ini memiliki jumlah kerusi Dewan Rakyat yang kecil.

“Tapi dia (Bersatu) kecil berbanding sokongan yang ada pada Umno. Bersatu akan tenggelam. Mungkin sebelum ini, Muhyiddin ingat boleh tangani.

“Saya yakin beliau sendiri pun sedar realiti ini. Semoga Muhyiddin sedar dan insaf untuk kembali kepada PH. Kita sedia terima Muhyiddin.

“Ini bukan soal mahu jadi Kabinet. Ini soal penting mahu halang negara kembali kepada penyamun dan kleptokrat,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut tindakan BN Melaka semalam yang menarik semula kerjasama dengan Bersatu berkuatkuasa serta-merta, Khalid berkata, hal tersebut bukti sikap sebenar BN yang mahu menguasai gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Pasti hal itu juga akan berlaku di Perak. Kalau Muhyiddin tidak sedar lagi realiti yang berlaku dan bagaimana Umno akan paksakan kehendak mereka dituruti kerajaan PN, maka jelas Muhyiddin dikaburi daripada kenyataan.

“Realitinya, Umno sedang mengambil alih kerajan negeri. Satu demi satu. Hanya menunggu masa saja. Mungkin dalam tempoh tiga bulan dia (Umno) akan mengambil kerajaan (Persekutuan) kembali,” ujarnya.

Sekiranya hal tersebut berlaku, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan Muhyiddin akan dikenang dalam sejarah politik negara sebagai Perdana Menteri yang telah khianat lantaran memulangkan kembali negara ini kepada kleptokrat.

Ditanya sejauhmana kesediaan PH menerima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, beliau berpendapat, langkah tersebut paling praktikal dengan situasi politik semasa negara.

“Kita pun tidak mahu menempuh proses (pelantikan Perdana Menteri). Hanya dicadangkan mungkin Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Mentor manakala Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Yang penting tiada pengkhianat, tiada Azmin Ali (bekas Timbalan Presiden PKR), Zuraida Kamaruddin (bekas Naib Presiden PKR) dan lain-lain,” tambah Khalid lagi.

Untuk rekod, Azmin dan Zuraida dipecat sebagai anggota PKR berkuat kuasa serta-merta menerusi keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR, 24 Februari lalu.

Pemecatan itu diambil kerana kedua-dua individu itu yang terlibat secara langsung dalam ‘Langkah Sheraton’ dianggap melakukan pengkhianatan terbuka dan mampu menjejaskan kestabilan PH.