Malaysia Dateline

Muhyiddin pengerusi mesyuarat khas, kerajaan darurat dipertimbang, lapor media

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra di Putrajaya, dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa ketika portal berita pro Azmin Ali berkata isu kerajaan darurat antara pilihan yang ada.

“Isu ini menjadi agenda utama apabila perdana menteri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas dengan anggota kabinetnya hari ini,” lapor Malaysianow.

Ia diperlukan berikutan kebimbangan Muhyiddin Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan November ini tidak akan diluluskan sekiranya sekelompok sahaja MP Umno bertindak menentangnya.

Menurut Bernama, kenderaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra pada kira-kira 8.57 pagi, bagi mempengerusikan mesyuarat yang bermula 9.30 pagi.

Beberapa kenderaan yang dinaiki menteri-menteri Kabinet juga dilihat memasuki Perdana Putra, dan sebelum memasuki perkarangan bangunan tersebut, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu.

Antara yang kelihatan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang turut dilihat memasuki Perdana Putra pada kira-kira 9 pagi.

Sekumpulan pengamal media berkumpul di laluan masuk ke Perdana Putra ekoran desas desus mengenai rombakan Kabinet akan dibuat, berikutan mesyuarat yang diadakan hari ini.

TANGGUH SIDANG PARLIMEN

Laman pro Azmin juga memetik sumber, bahawa semua proses politik dan sidang Parlimen akan ditangguhkan sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat disebabkan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Pakar undang-undang di Putrajaya juga dilaporkan sedang mengkaji permintaan tersebut mengikut Perlembagaan Persekutuan, berikutan rayuan berulang kali oleh pegawai kanan kesihatan semasa mesyuarat peringkat tertinggi minggu ini.

Ini terjadi kerana, Pegawai kanan kesihatan menyatakan keprihatinan serius dan memberi amaran tentang kemungkinan Pilihanraya akan berlaku semasa pandemik, sekiranya pembentangan bajet November ini tidak mendapat sokongan majoriti.

Justeru dengan pengisytiharan darurat, penangguhan semua proses dan prosedur politik dianggap sebagai satu-satunya cara praktikal membantu pihak berkuasa kesihatan mengawal penularan Covid-19 yang meningkat 109 peratus dalam tempoh sebulan.

“Kebimbangan utama mereka adalah pembentangan belanjawan bulan depan. Sebarang langkah untuk menghalang belanjawan dari diluluskan, menyaksikan proses demokrasi kini tiada pilihan lain selain pembubaran Parlimen.

“Senario itu akan menjadi lebih buruk kerana mereka telah memberi amaran bahawa pilihan raya akan menyebabkan penularan Covid-19 tidak terkawal,” kata sumber kepada portal tersebut.

Pembentangan belanjawan kali ini dijangka dibentang pada 6 November depan yang mesti diluluskan dengan suara majoiriti.

Bagaimanapun, usul akan dikira gagal sekiranya kumpulan ahli Parlimen Umno yang bersama Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak, bergabung dengan Anwar Ibrahim untuk undi menolak bajet.