Muhyiddin perlu bersama gerakan islahkan Malaysia

Muhyiddin perlu bersama gerakan islahkan Malaysia

Penggantungan mahu pun pemecatan bukanlah akhir perjuangan kerana selagi kemungkaran ekonomi dan politik makin membarah, di situ terletak tanggung jawab seorang pemimpin muslim untuk membetulkannya, kata Ahli Dewan Negeri (Adun) Salor, Husam Musa.

Mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) kelmarin menggantung jawatan Timbalan Presiden Umno yang disandang Muhyiddin, Husam berkata seorang pejuang yang telah memperhitung segala langkahnya tidak sama sekali patah semangat.

“Saya sependapat dengan Tan Seri Muhyiddin bahawa dayungan islah berdepan kepimpinan yang sedang membesar menjadi ‘monster’ (raksasa), memerlukan paduan tenaga mengatasi batasan parti, pegangan perjuangan dan kaum.

“Islah adalah tuntutan Islam ke atas penganutnya,” tegas Husam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurut beliau, huraian panjang lebar kemelut 1MDB oleh Muhyiddin dalam kenyataan media mantan Timbalan Perdana Menteri itu adalah pelengkap kewajipan menangan isu ini secara bersama oleh semua pihak.

Beliau memetik ayat dari surah Ad Dhuha iaitu, “Dan natijah akhir bagi mu adalah lebih baik dari permulaan” yang menjelaskan sikap optimis tentang masa depan yang lebih baik bila mana manusia berusaha.

“Allah memberi janji, jika pemimpin dan rakyat yang cintakan negara yang bersih dari penyelewengan dan salah guna kuasa bagi memacu kemajuan, kemakmuran dan kesaksamaan untuk seluruh rakyatnya, berusaha bersama, mereka akan mendapatkan apa yang mereka impikan pada akhirnya,” ujar Husam.

Beliau berharap Muhyiddin dapat terus mara bersama saf perjuangan seluruh lapisan rakyat yang cintakan perubahan tanpa ragu kerana
Malaysia tidak harus dibiarkan menuju kebinasaan.

“Malaysia perlu diselamatkan. Ia adalah tugas bersama semua pemimpin dan rakyat,” katanya.

TAGS