Malaysia Dateline

Muhyiddin perlu guna dana awam ikut keutamaan

Hari ini, jumlah kumulatif Covid-19 di Malaysia adalah 158,434 kes manakala China kini mempunyai 98,794 kes.

Malaysia jauh meninggalkan China dengan jumlah kes harian kekal 4 digit setiap hari.

Awal tahun 2020, kita dikhabarkan dengan kejayaan China membina hospital khas untuk menangani peningkatan jumlah pesakit Covid-19 dalam masa kurang 10 hari.

Pada 16 Januari 2021 pula, mereka siap membina sebuah hospital dengan 1,500 bilik dalam masa lima hari sahaja bagi menempatkan pesakit-pesakit Covid-19.

Apa yang Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin lakukan setelah menyedari bahawa peningkatan kes Covid-19 semakin menjadi-jadi?

Ya, merancang membina tiga buah dewan komuniti yang bakal terbiar usang seperti kebanyakan dewan komuniti lain dengan kos RM35.43 juta di satu kawasan sahaja.

Menerusi kenyataan dan maklumat yang dikumpulkan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi (gambar), kluster Bukit Pasir yang mempunyai 1,830 jumlah kes positif (pada 18 Januari 2021) Covid-19 terletak betul-betul di Pagoh, iaitu kawasan parlimen Muhyiddin Yassin sendiri.

Shu Qi berkata, RM35 juta yang diperuntukkan untuk membina tiga buah dewan komuniti di kawasannya itu, lebih baik diperuntukkan untuk perkara yang lebih penting dan yang akan memberi impak lebih besar kepada ekonomi dan kesihatan rakyat umum.

Ahli Parlimen Kluang itu turut memberi contoh keadaan di Hospital Enche’ Besar Kalsom, Kluang yang amat mendukacitakan apabila pihak hospital memaklumkan bahawa di tingkat 10 hospital baru tersebut tidak dilengkapi katil.

Pihak hospital memaklumkan, 38 buah katil dengan kelengkapan penuh boleh dimuatkan dengan kos RM38 juta. Muhyiddin sepatutnya memberi perhatian kepada isu-isu penting dan kritikal seperti ini.

Lebih-lebih lagi kebanyakan hospital di seluruh negara kini padat dengan pesakit dan memerlukan ruang dan kelengkapan tambahan segera.

“Saya berharap Perdana Menteri dapat bertindak dengan lebih bijak dan tegas untuk membatalkan peruntukan RM35 juta untuk tiga buah dewan komuniti, seterusnya menyalurkannya kepada hospital di Johor yang kini berperang melawan Covid-19.”

Lim Lip EngTambahnya lagi. Seorang lagi ahli parlimen daripada parti DAP, Lim Lip Eng (gambar) menyatakan bahawa RM35 juta boleh digunakan untuk membina lebih daripada lima buah masjid.

Lip Eng memberi contoh projek pembinaan masjid yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya di Bandar Baru Kampar, Perak.

Sebuah masjid hanya berharga RM1.9 juta, tetapi mampu memuatkan hampir 500 orang jemaah.

Namun, perkara utama yang ingin dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kepong tersebut adalah, Muhyiddin sepatutnya lebih cermat dalam menggunakan dana awam ketika pandemik masih belum berakhir.

Segala usaha perlu ditumpukan kepada membolehkan lebih ramai pesakit Covid-19 dapat menerima rawatan di hospital dan lebih ramai masyarakat dapat menerima suntikan vaksin Covid-19.

Justeru, sebagai Perdana Menteri yang menggalas beban dan tanggungjawab besar mengepalai misi memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia, seharusnya beliau bersikap lebih prihatin akan perkara-perkara utama yang perlu ditangani segera serta memperuntukkan dana awam untuk hal-hal kecemasan dan kritikal bagi memulihkan ekonomi juga kehidupan rakyat.