Malaysia Dateline

Muhyiddin perlu gunakan kuasa darurat arah moratorium untuk M40

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya bersikap selektif apabila beliau boleh menggunakan kuasa darurat dan meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi mengambil RM5 bilion untuk program vaksinasi, tetapi tidak melakukan perkara sama untuk moratorium.

Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng berkata, Muhyddin enggan melakukan hal yang sama untuk mengubah undang-undang dan tidak mahu mengarahkan industri perbankan memanjangkan moratorium secara automatik kepada B40 dan M40.

“Moratorium pinjaman bank tidak seharusnya hanya ditawarkan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau perniagaan di bawah sekatan pergerakan penuh.

“Walaupun kita tidak setuju dengan Tengku Zafrul dan dapat menyenaraikan beberapa undang-undang di mana kerajaan mempunyai kuasa untuk memastikan bank mematuhi arahan, namun masalah ini dapat diselesaikan dengan menggunakan kuasa darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, mereka yang mengalami kehilangan pendapatan pekerjaan atau pendapatan perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini juga harus mendapat manfaat.

Katanya, menolak hak M40 untuk mendapat tawaran yang sama seperti golongan B40, sama sekali tidak bersimpati dengan keadaan kewangan semasa mereka yang boleh menyebabkan mereka tergelincir ke kumpulan B40.

Justeru katanya, mereka yang berada dalam kumpulan M40 perlu ditawarkan moratorium pinjaman bank kerana mereka adalah pembayar cukai yang menyumbang kepada wang negara.