Malaysia Dateline

Muhyiddin perlukan legitimasi, PH perlu selesaikan kepimpinan

Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan supaya menentusahkan kerajaannya dengan membenarkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat manakala Pakatan Harapan (PH) pula dicadangkan supaya menetapkan siapa pemimpin utama mereka.

Felo penyelidik kepada Ilham Centre, Dr Hamidin Abdul Hamid ketika membuat cadangan itu berkata, dengan pendekatan itu sahaja kedua-dua pakatan dapat menstabilkan halatuju masing-masing.

DR HAMIDIN ABD HAMID

“Masalah kepada PN adalah tidak ada legitimasi…Muhyidin perlukan ini. Selagi ia belum selesai, lompat melompat ini akan berterusan.

“Jika terbukti kerajaannya mempunyai majoriti yang sah, maka isu lompat melompat ini akan selesai,” kata beliau dalam wawancara dengan BFM hari ini.

Hamirdin juga membuat cadangan untuk PH dan pembangkang yang lain.

“Pakatan Harapan perlu menetapkan dengan jelas siapa ketua mereka antara kedua-dua tokoh mereka itu. Ini kerana isu inilah yang masih berlegar pada pakatan ini dalam usaha mereka kembali ke Putrajaya.

“PH perlu selesaikan isu kepimpinan ini segera,” kata beliau dalam wawancara itu.

Selagi ini tidak selesai harapan untuk mereka mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen agak kabur, kata beliau.

Menurut pensyarah Universiti Malaya itu, apa yang berlaku sekarang adalah peperangan saikologi antara PN dan PH.

Ia semakin rancak dengan tindakan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya.

Ekoran tindakan Shahruddin, PN bertindak dengan menarik Ahli Parlimen Lubuk Antu, Sarawak ke dalam kumpulan penyokong PN.

Menurut Hamirdin, Muhyiddin mempunyai dua pilihan sahaja sekarang samada mengesahkan kerajaannya di Dewan Rakyat atau menyerahkan semula mandat kepada rakyat dengan membubarkan Parlimen.