Muhyiddin pertikai kebolehan Shahrir kembalikan kegemilangan Felda

Muhyiddin pertikai kebolehan Shahrir kembalikan kegemilangan Felda

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikai kebolehan Pengerusi Felda yang baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengembalikan semula kegemilangan institusi berkenaan.

Beliau dalam satu ceramah parti itu dipetik berkata, jika benar pemimpin tersebut mahu melakukan perkara itu apakah usaha yang dijalankan terlebih dahulu dalam membasmi masalah penyelewengan dan isu dalaman yang dialami ahli lembaga berkenaan.

“Saya dengar pengerusi Felda yang baharu itu mahu kembalikan semula kegemilangan Felda seperti satu masa dahulu jadi saya tidak tahu bagaimana dia nak selesaikan masalah sebegini.

“Mungkin dia pun sebagai pengerusi dah ketinggalan zaman kerana tidak melihat dengan jelas masalah yang dihadapi Felda sekarang tidak seperti dahulu kerana sekarang ia sudah rosak dibuat oleh pihak pimpinan yang tidak bertanggungjawab,” katanya seperti dilapor Sinarharian online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Kasih Bersatu Kulai di Felda Taib Andak semalam.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad Muhyiddin turut mendakwa, kemerosotan prestasi Felda juga berpunca daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, korupsi dan campur tangan pihak kerajaan yang tidak amanah serta tidak menampakkan hasilnya.

“Dulu kita tahu hasil daripada nilai syarikat dan nilai korporat hasil yang ada di bawah Felda memang cukup besar sehingga bernilai berbilion ringgit. Tetapi, hairan bagaimana pada waktu yang cukup singkat segala apa yang telah dibina untuk puluhan tahun boleh hancur begitu sahaja.

“Selain itu, sebahagian besar daripada harta dan saham daripada Felda juga dilihat sudah tidak mempunyai nilai ditambah pula dengan kekuatan kewangan yang agak lemah. Ini semua hanya memberi kesan buruk kepada peneroka,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai rancangan sesuai bagi menyelesaikan perkara tersebut yang bermula dengan memberikan penerangan kepada kesemua peneroka mengenai masalah yang sedang dialami Felda sekarang.

TAGS