Malaysia Dateline

Kamarudin Md Nor

Muhyiddin Presiden PH hanya cadangan, Bersatu nafi mahu kuasai PH

Ketua Penerangannya  Datuk Kamarudin Md Nor dalam satu kenyataan hari ini berkata, cadangan asal Bersatu  untuk meletakkan Muhyiddin sebagai Presiden PH adalah untuk memantapkan kepimpinan PH secara keseluruhannya dalam menghadapi PRU 14 berasaskan pengalaman luasnya menerajui jentera pilihan raya BN.

“Namun PPBM sedia berkompromi bagi jawatan Presiden PH atas semangat musyawarah,” katanya.

Pendirian PPBM ini, jelas beliau telah disampaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 9 Jun 2017.

Justeru, katanya tidak timbul isu parti itu  ingin mendominasi PH dengan menguasai jawatan Pengerusi dan Presiden seperti yang diulas oleh beberapa orang tokoh politik dan dilapor oleh media.

Kamarudin merujuk kepada laporan media mengenai struktur Pakatan Harapan yang dicadangkan oleh PPBM dan menegaskan hanya jawatan Pengerusi sahaja dicadangkan PPBM untuk disandang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, Bersatu  bersedia untuk menerima struktur kepimpinan PH yang baharu sekiranya dipersetujui secara sebulat suara oleh parti-parti PH yang lain.

“Ini penting untuk memastikan kesepakatan dalam kalangan parti-parti pembangkang dan tumpuan utama diberikan kepada usaha untuk memenangi PRU 14. Buat masa ini, PPBM sedang menunggu jawapan rasmi daripada Sekretariat PH mengenainya,” ujar beliau.