Malaysia Dateline

Muhyiddin rayu rakyat Malaysia duduk diam-diam di rumah

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini terus menerus merayu kepada rakyat Malaysia agar terus kekal berada di dalam rumah dan tidak menjadikan perintah kawalan pergerakan sebagai kesempatan pulang ke kampung.

Beliau berkata, warga Malaysia dipohon untuk membatalkan niat dan rancangan pulang ke kampung buat masa dua minggu yang ditetapkan.

Malah katanya, tujuan penguatkuasaan Kawalan Pergerakan dilaksanakan juga bukanlah untuk membolehkan orang ramai memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

“Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang,
duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja.

“Kenapa? Kerana kita hendak putuskan rantaian jangkitan. Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak
COVID-19 ini dapat dikurangkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan asbab tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu yang disebabkan faktor jangka hayat inkubasi (incubation) Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan berharap selepas tamat tempoh penguatkuasaan, mereka yang mempunyai simptom akan berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan sekaligus menjadikan Malaysia bebas dari wabak penyakit berjangkit itu.

Dalam ucapannya tadi, beliau turut meminta agar orang ramai tidak menggunakan peluang dua minggu untuk melepak di kedai-kedai seperti kedai mamak yang akan meningkatkan risiko jangkitan.

“Jadi, tolonglah. Saya merayu sekali lagi. Duduklah diam-diam di rumah.

“Duduk di rumah, jaga diri anda dan lindungi keluarga anda,” pintanya.